RM11,400 Sumbangan Dari Telemong UntukTabung Rohingya
Dewan Undangan Negeri (DUN)Telemong berjaya mengumpul lebih kurang RM11,400 menerusi Tabung Bantuan Rohingya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong sejak dilancarkan pada 29 September lalu.
ADUNnya, Dato' Rozi Mamat berkata, program kerajaan negeri menerusi skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bergerak ke setiap DUN dan mukim bagi membuka peluang masyarakat setempat untuk menghulurkan bantuan.
"Setiap program yang diadakan ini melibatkan komuniti, kemasyarakatan dan keagamaan...dan saya berpuas hati dengan penglibatan masyarakat DUN dalam setiap program yang dianjurkan.
"Jutaan terima kasih atas kecaknaan masyarakat DUN Telemong yang sudi menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukannya untuk meringankan beban masyarakat Rohingya yang sedang tertindas,"kata Rozi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ekspresi Telemongku di Dataran Padang Kachong,Kuala Telemong semalam.
Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, berkata bantuan tabung diadakan untuk menimbulkan perasaan kekitaan, kasih sayang dan kemanusiaan di kalangan masyarakat Terengganu untuk membantu masyarakat Rohingya mengikut kemampuan masing-masing.
Dalam majlis yang sama turut diadakan majlis penyampaian hadiah Program Kembara Merdeka kepada para peserta yang telah mengambil bahagian baru-baru ini dengan pelbagai hadiah menarik termasuk cabutan bertuah dan hiburan daripada penyanyi terkenal, Wani Hasrita.