HULU TERENGGANU, 21 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi membiayai Projek Tanaman Fertigasi Cili yang bakal diusahakan oleh Pertubuhan Anak-Anak Istimewa Hulu Terengganu (PAIST).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek yang terletak di Kompleks Pertanian Negeri, Ajil itu merupakan satu langkah proaktif dalam memperkasakan golongan istimewa melalui sektor pertanian moden.
Menurut beliau, projek tersebut bakal melibatkan penanaman cili dengan kapasiti sebanyak 2,500 polibeg.
"Kita mahu memastikan setiap kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik bagi memastikan kelestarian projek ini di bawah seliaan PAIST," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Dr. Azman, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negeri, malah menjadi medium latihan dan pendedahan kepada golongan anak-anak istimewa dalam bidang agro-teknologi.
Projek ini dijangka bakal menjadi model kepada penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi ahli melalui sektor keterjaminan makanan.