• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

RM700 Ribu Atasi Masalah Banjir Jangka Pendek di Rantau Abang

KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran negeri telah melaksanakan pelan penyelesaian jangka pendek masalah banjir bagi menangani isu itu di  kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bagi  tahun 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata ia merupakan langkah awal kerajaan negeri apabila ketiga-tiga permohonan projek tebatan banjir yang dipohon dalam 'Rolling Plan' Rancangan Malaysia namun sehingga kini masih belum diluluskan.

Katanya, program-program penyelengaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran dengan  lima kerja secara sebutharga dengan kos RM700,000.00 sedang dilaksanakan melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2024 bagi Kawasan sekitar Rantau Abang.

“Kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran utama serta kerja kerja berkaitan di Kampung Alor Mak Bah,Dungun melibatkan kos RM50,000

“Seterusnya, kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran dan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Paya Jara, Kuala Abang dengan kos RM400,000 dan kerja kerja pemuliharaan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Tanjung Jara, Dungun, sebanyak RM150,000.

 “Manakala kerja kerja pemuliharaan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg Tok Kah, Dungun sebanyak RM50,000 dan kerja kerja pemuliharaan struktur tebing dan pagar jps akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, Dungun (RM50,000),” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Zulkifli pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mohd Fadhli mengemukan soalan bilakah kerajaan negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di Kawasan DUN Rantau Abang yang selalu terkesan dengan banjir terutama bila tiba musim tengkujuh.

Tambah Hanafiah lagi, itu tidak termasuk jumlah peruntukan melibatkan senarai kerja yang dipohon melalui peruntukan kerajaan negeri (P02) bagi tahun 2025 bagi kawasan sekitar Rantau Abang.


Tag: