Royalti Hak Rakyat Terengganu Berdasar Akta Kemajuan Petroleum 1974 - MB
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Terengganu bertegas untuk terus menuntut royalti petroleum hak rakyat dan negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri kekal berpegang teguh dengan akta tersebut dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan.
"Kita menuntut hak rakyat Terengganu ini dengan berbagai-bagai cara yang akan dibuat, sepertimana simpulan bahasa menyebut 'lalu penjahit, lalu kelindan'.
"Usaha-usaha ini akan dilakukan secara bersama dengan seluruh rakyat negeri Terengganu dan rakyat Malaysia nanti, insya-Allah," katanya bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengenai tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.54 bilion.
Namun katanya, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri.
"Baki RM367.15 juta royalti petroleum (daripada kelulusan) setakat Julai tahun tidak diterima," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut menjelaskan jumlah yang patut diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM1.524 bilion namun hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.