Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KEMAMAN, 29 April - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Kawasan Beris Meraga dan Telok Kalong, Kijal diatur penyelesaiannya dengan majlis pengundian lot yang berlangsung kelmarin.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di majlis tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada semua kakitangan yang terlibat dan dengan kesabaran peserta, ianya hampir diselesaikan.
"Alhamdulillah dengan kerja keras oleh semua kakitangan Pejabat Tanah Kemaman, RTB ini akan diselesaikan sehingga ke proses pembahagian geran dengan secepat mungkin.
"Berkat kesabaran dan doa dari peserta RTB setelah belasan tahun menunggu saat ini, akhirnya ia berjaya diuruskan walaupun terdapat sedikit kesukaran di situ," ucapnya.
Sebelum itu, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali yang turut berucap berkata, tanah tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.
"Insya-Allah, RTB Terkilan di Kijal akan kami selesaikan tahun ini juga walaupun terdapat sedikit kerumitan yang timbul kerana ada sesetengah peserta yang telah meninggal dunia.
"Bukan kami sahaja yang bekerja keras, malah ini semua juga hasil dari kerjasama daripada pihak Penyelaras DUN Kijal yang turut memainkan peranannya," katanya.
Majlis yang diadakan di Dewan Sivik Kijal itu dihadiri oleh baki peserta seramai 56 orang dari kedua RTB yang dinafikan haknya pada tahun 2004 bagi menentukan lot kediaman masing-masing.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pembangunan Tanah Kemaman, Mohamad Hafiz Che Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang, Penghulu Mukim Tebak, Mohd Azlan Ibrahim dan kakitangan Pejabat Tanah yang terlibat serta kakitangan Pejabat Penyelaras DUN Kijal.