RTGC Juara Kejohanan Golf Piala KDYMM Tuanku Al-Sultan Terengganu

Wakil RTGC yang berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dalam Kejohanan Golf Piala KDYMM Tuanku Al-Sultan Terengganu.

Kelab Golf Diraja Terengganu (RTGC) muncul juara bagi kategori berpasukan dalam Kejohanan Golf Piala KDYMM Tuanku al-Sultan Terengganu Kali Ke-17 yang berlangsung di Kelab Golf Bukit Besi, Dungun selama dua hari pada 16 dan 17 September lalu.

Dengan agregat kejohanan tiga di bawah par 573 RTGC  yang diwakili oleh 10 orang ahlinya berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 menewaskan Kelab Sukan Pemain Golf Kuala Terengganu yang hanya mencatatkan satu di bawah par 575.

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Terengganu bersama Kelab Golf Bukit Besi tersebut telah disertai oleh 160 peserta dengan 14 pasukan.

Wakil dari RTGC, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, persaingan pada kejohanan tersebut amat sengit berdasarkan beberapa faktor.

"Setiap kelab membariskan pemain-pemain yang terbaik dalam kejohanan kali ini selain dari tempat yang diadakan di Kelab Golf Bukit Besi yang mencabar termasuk kedudukan pinnya.

"Namun begitu, pemain-pemain RTGC menunjukkan prestasi terbaik dan berjaya menyerap tekanan yang begitu tinggi untuk muncul sebagai juara kumpulan bagi kejohanan ini," katanya kepada Teganukita.

Dalam kejohanan tersebut, Shahril Jusoh yang juga dari RTGC pula muncul sebagai juara individu dengan markah 69 menewaskan Affendy Mohd (70) dan Muhammad Aqeel Aqram (70) yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Shahril berkata, Kelab Golf Bukit Besi adalah antara lapangan yang agak sukar di Terengganu.

"Ia memerlukan ketahanan mental dan tenaga memandangkan faktor lapangan yang berbukit serta dibatasi lereng-lereng bukit curam memaksa pemain untuk membuat pukulan lebih berhati-hati.

"Syukur pada tuhan, permainan saya pada dua hari itu cukup baik dibantu dengan 'putting' dan pukulan ke 'green' yang lancar seterusnya dapat menewaskan pemain yang hebat dari kelab golf lain," katanya.

Tag: