lightning-solid
Berita :
Terengganu Larang 'Busking' 10 Malam Terakhir Ramadan
Terengganu Larang 'Busking' 10 Malam Terakhir Ramadan
Khairul Faez Rosdi
2 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk melarang sepenuhnya aktiviti busking sepanjang 10 malam terakhir bulan Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, sebagai langkah menjaga keharmonian dan kesucian bulan mulia tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat MMKN yang bersidang pada 14 Januari 2026 selepas mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, sebelum ketetapan tersebut dimuktamadkan, satu Sesi Libat Urus telah diadakan pada 12 Januari lalu di Wisma Darul Iman yang melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Busker Negeri Terengganu, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Kemaman.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk melarang sepenuhnya aktiviti busking pada 10 malam terakhir Ramadan, iaitu dari 21 hingga 30 Ramadan 1447H, di seluruh kawasan pentadbiran PBT di setiap daerah.

“Namun, bagi tempoh selain 10 malam terakhir tersebut, aktiviti busking masih dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Sukairi berkata, antara syarat utama yang dipersetujui ialah had masa persembahan hanya dibenarkan dari jam 9.30 malam hingga 12.00 tengah malam, selain lokasi persembahan mestilah berada pada jarak melebihi 500 meter dari masjid atau surau.

Beliau menambah, hanya persembahan bercorak ketuhanan dibenarkan sepanjang bulan Ramadan, termasuk nasyid, lagu-lagu seumpamanya serta lagu raya.

Menurutnya, ketetapan tersebut penting bagi memastikan suasana Ramadan di Terengganu kekal harmoni, selamat dan selesa, khususnya dalam menghormati amalan ibadah masyarakat.

“Ketetapan ini dibuat secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan semua PBT di setiap daerah supaya pelaksanaannya seragam serta tidak menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meminta semua PBT supaya tidak mengenakan fi atau caj yang tinggi kepada busker yang mematuhi syarat serta garis panduan yang ditetapkan.

“Saya meminta PBT agar bertimbang rasa dan tidak membebankan busker dengan caj yang tinggi, memandangkan mereka telah memberi komitmen untuk mematuhi peraturan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan