• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Rumah Pengasuh Hampir Dinaiki Air, Bapa Mula Risau Keselamatan Anak

HULU TERENGGANU, 14 Disember - Seorang bapa bergegas pulang untuk mengambil bayinya yang berusia empat bulan di Kampung Kemat dari Marang setelah dimaklumkan kawasan rumah pengasuhnya hampir dinaiki air.

Mohamad Razif Abu Hasan, 35, merupakan kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkata sebaik sahaja mendapat panggilan pengasuh kepada Mohamad Zikry, pada 4.00 petang, dia membuat keputusan untuk balik tanpa berfikir panjang demi keselamatan anaknya.

"Sejurus dapat panggilan itu, hati tak tenang teringat kepada anak saya, dan terus mengambil keputusan untuk gerak ke Kampung Kemat.

"Sebaik sahaja sampai lebih kurang jam 5.30 petang, air makin naik di sebelah rumah pengasuh, memang jelas air sangat laju..tidak mustahil paras air akan sampai ke rumah penjaga anak saya," ujarnya.

Sementara itu, Athirah Izati Abdullah, 26, yang baru dua bulan mengasuh Mohamad Zikry berkata, dia mula risau keselamatan bayi berkenaan apabila paras air sungai Kemat mula melimpah dengan laju sejak tengahari tadi ekoran hujan lebat sejak 8 pagi.

Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada bapa anak jagaannya supaya segera datang mengambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam masa yang sama, sepasang warga emas terpaksa menumpang rumah jirannya susulan rumah mereka ditenggelami air hampir satu meter.

Mek Ngah Seman, 67, berkata dia dan suaminya Sulong Abdullah ,76, segera keluar daripada rumahnya apabila air Sungai Kemat mula memasuki rumahnya pada pukul 1 tengahari ekoran hujan lebat.

"Makcik tidak mahu merisikokan nyawa kami berdua lebih-lebih lagi pakcik ada masalah sakit tua..kalau lambat pindah takut peristiwa awal tahun baru-baru ini berulang kembali apabila rumah kami tenggelam sehingga paras bumbung," katanya.