Rumah Rimbunan Kasih Diserah Secara Sewa Beli
Oleh :Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 5 April - Pengumuman kerajaan negeri yang akan menyerahkan perumahan di Rimbunan Kaseh Rantau Abang kepada penghuninya secara sewa beli merupakan berita gembira dan amat dinanti-nantikan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
"Cadangan sewa beli ini adalah langkah terbaik dan pihak kerajaan tidak akan terlibat.
"Maknanya, apa-apa kerosakan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan, jadi dengan konsep sewa beli maknanya ianya terpulang kepada pemilik-pemilik rumah berkenaan," ujarnya.
Beliau bercakap demikian sebagai mengulas pengumuman itu ketika dihubungi wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.
Alias yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN berkenaan berkata, pada masa kini penduduk yang terlibat dengan projek pertanian yang dihentikan sepenuhnya pada Julai 2017 itu, boleh menarik nafas lega berikutan pelbagai desas desus yang tidak menggembirakan diterima mereka sebelum.
"Cuma, peserta untuk 26 Green House dan 400 tangki itu hanya boleh menggunakan 10 orang peserta sahaja, jadi sekarang tidak ada peserta lagi. Terpulang kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mengambil alih projek tersebut sama ada hendak tentukan sendiri peserta atau mengambil sebahagian daripada peserta lama.
" Jadi dia mengambil kira latar belakang yang boleh memberi manfaat kepada projek pertanian di Rimbunan Kaseh ini. Jadi, yang lain itu duduk di rumah itu dan dia bekerja di luar, " jelasnya.
Sehubungan dengan itu, seorang penduduk Projek Rimbunan Kaseh, Zarinah Mohamad berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu dan ADUN Rantau Abang yang sentiasa berusaha serta prihatin dengan kehendak rakyat.
"Semasa mula-mula terpilih dulu, kita tidak kisah sangat pasal pekerjaan di sini yang kita utamakan rumah, kita nak rumah," katanya yang turut teruja dengan berita gembira itu.
Menurutnya, sebelum ini mereka bimbang akan dihalau daripada penempatan itu memandangkan projek tersebut telah diberhentikan.
" Dengan berita tersebut, bermakna kami berpeluang memiliki rumah sendiri rumah untuk berteduh, tidak perlu lagi risau soal rumah dan tidak kisahpun terpaksa bekerja di tempat lain," katanya yang kini membuka nurseri di jalan besar Rantau Abang.
Dalam laporan terdahulu, kerajaan negeri akan memajukan kembali aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di tapak Rimbunan Kaseh, Rantau Abang dalam masa terdekat selepas dihentikan pada April 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Terengganu bersama IRIS Corporation Berhad (IRIS) selaku badan pelaksana asal kini dalam proses memulihkan kembali aset yang rosak.
Jelasnya, pihak kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merancang strategi baharu yang lebih berkesan untuk membangunkan tapak itu di samping menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.