SAHUT Bawa Pulang Pingat Perak, Harumkan Nama Negara

Tiga Pelajar Sahut bersama Guru Pembimbing Menerima Anugerah Perak(tempat kedua) di Korea

Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (Sahut) mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila tiga pelajarnya membawa pulang pingat perak kategori menengah rendah di pertandingan The 13th International Standards Olympiad di Yongin, Korea Selatan pada 8 hingga 10  Ogos baru-baru ini.

Mereka bertiga berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan ini walaupun menghadapi persaingan sengit antara 20 kumpulan dari 12 negara  seperti Korea, Jepun, Ecuador dan lain-lain membuktikan rekaan anak Malaysia setanding peringkat antarabangsa dan mampu mengharumkan nama negara.

Program Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar diadakan bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepenggunaan standard dan kepentingan di bawah tajaan pihak Korea Agency For Technology and Standards (KATS).

Nik Nurasilah Nik Aziz, Najah Bahrin Shah dan Muhammad Amar Haqim Ramli, 15, yang mewakili Malaysia mengambil masa hampir enam jam untuk menghasilkan satu rekaan prototaip dan portfolio mengikut syarat yang diberikan.

Bertemakan 'fourth industrial revolution' , ketiga-tiga pelajar berkenaan mencipta 'Smart Water Dispenser' yang mampu menyiram pokok dengan enam rentak berbeza dalam satu masa.

Najah Bahrin Shah
Najah Bahrin Shah, 15, berkata, mereka terpaksa melakukannya tanpa bantuan guru dan dalam pada masa yang sama, telefon turut diambil.

"Soalan yang diberikan terlalu banyak dan kami terpaksa bahagikan tugas, saya menyediakan portfolio manakala Nik Nurasilah dan Amar membina prototaip binaan yang diperlukan, kadang-kadang kami bergilir melakukannya.

"Kami diberi enam pemilihan idea dan harus memilih yang terbaik jadi kami pilih 'Smart Water Dispenser' yang boleh berfungsi secara automatik bagi memudahkan penyiraman pokok tanpa kawalan jumlah air yang diperlukan.

"Setelah enam jam, kami tinggalkan untuk hakim membuat penilaian dan menunggu keputusannya tetapi tidak menjangka akan menang kerana hasil dari negara lain sangat hebat dan kreatif terutama Korea dan Jepun,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut menyambut kepulangan mereka, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Menurut Najah, dia dan rakan-rakan terkejut apabila diumumkan berada di tempat kedua kerana sebelum ini merasakan peluang tipis apabila melihat kehebatan negara lain.

"Teruja sangat dan bersyukur atas kemenangan ini dan berharap akan lebih meraih kemenangan yang lebih besar pada pertandingan akan datang jika diberi peluang.

"Terima kasih kepada dua rakan saya yang memberi kerjasama yang terhebat, terima kasih juga kepada guru pengiring yang tidak putus memberi semangat kepada kami untuk capai tahap ini,"kata Najah lagi.

Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini sekaligus memberi inspirasi kepada anak-anak pelajar negeri seluruhnya.


Tag: