• 09 Nov 2024 | 07 Jamadil Awal 1446

Sahut Seruan Hari Hijab Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Orang ramai diseru agar menyahut seruan program Hari Hijab Terengganu (Terengganu Hijab Day) menggalakkan pemakaian hijab yang sempurna menurut syariat.

Pengarah program, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia adalah inisiatif daripada Kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan Terengganu Hijab Day (THD)  di mana sambutannya adalah di seluruh daerah.

“Alhamdulillah tahun ini masuk tahun kelima kempen Terengganu Hijab Day yang kita adakan bersempena dengan sambutan ‘World Hijab Day' yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun di seluruh dunia.

“Terengganu Hijab Day adalah salah satu usaha kerajaan negeri bagi kita merealisasikan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berkata demikian ketika di Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, pada hari ini.

Menurutnya, program Terengganu Hijab Day akan diadakan pada 20 Februari 2023 di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al- Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan merupakan ia adalah anjuran Kerajaan negeri.

Justeru itu, beliau menyeru kepada para wanita  di luar sana agar jangan berputus asa dalam berhijrah untuk memperbaiki diri  kepada yang lebih baik.

“Muslimin dan muslimat, para ayah, para suami, adik dan abang-abang semua, mari kita memastikan isteri-isteri kita,  anak perempuan kita, saudara-saudara perempuan kita berpakaian yang mengikut syariat Islam.

“Daripada pakaian tidak tutup aurat kepada tutup aurat, daripada tidak bertudung kepada terus bertudung dan jangan berputus asa serta terus berusaha  membaiki diri kita, insya Allah.

 “Kepada seluruh rakyat Terengganu kita kena ingat dalam memastikan dan mencapai kemajuan dari segi kemajuan negeri, ekonomi, kita juga mesti bersungguh-sungguh dalam melaksanakan syariat Allah SWT. insya-Allah semoga negeri dan rakyat kita dilimpahkan rahmat dan kasihnya daripada Allah,” ujar Sakinah.

Beliau menambah, program Hari Hijab Terengganu akan diserikan lagi dengan jemputan Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus pada hari tersebut.

“Jadi mari kita ajak semua keluarga kita, abang, adik, kakak, suami, ayah, isteri, jiran-jiran tetangga dan semua pada ke sambutan Terengganu Hijab Day pada 20 Februari 2023,” tambah beliau.

 

 


Tag: