Salur Bantuan RM500 Selepas Banjir Berakhir

KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas selepas berakhirnya fasa banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pertindihan sumbangan kepada mangsa yang sama.

“Pada peringkat awal kerajaan berhasrat  menyalurkan bantuan sebelum 15 Januari ini tetapi memandangkan situasi banjir yang tidak menentu dan belum berakhir, kita terpaksa mengambil sedikit masa.

“Setakat ini, kita masih lagi dalam proses untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan ekoran Terengganu masih lagi berada dalam fasa kelima dan kebimbangan akan  berlaku gelombang seterusnya agak tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengupas situasi banjir, bantuan dan tindakan pemulihan di Terengganu ketika bersiaran di Astro Awani, hari ini.

Sementara itu Hanafiah berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang mengenai bantuan pasca banjir kerana semua pihak berganding bahu memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Selain daripada bekalan makanan yang dihantar pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, ramai juga NGO-NGO yang memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Baru-baru ini kami bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada di Kemaman turut menghantar tilam, tikar getah dan juga keperluan dapur kepada mereka,” ujarnya.

Menurut Hanafiah, pihaknya turut menjalankan misi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka yang terjejas.

“Di Terengganu juga ada sukarelawan dapur rakyat yang menyediakan juadah tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” ujarnya.