Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Peringkat DUN Hulu Besut yang berlangsung malam tadi di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan menghimpunkan 2000 anak-anak perantau yang menetap di Lembah Klang.

Sekaligus Majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat(ADUN) Hulu Besut itu menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam kalangan perantau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perantau yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

“Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai serta sambutan yang cukup meriah. Ini jelas membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang sesama anak perantau Hulu Besut masih kukuh walau berada jauh dari kampung halaman,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya tersebut, baru-baru ini.

Beliau juga merendah diri memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut, dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

Dalam pada itu,Husaimi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman tahun ini.

“Insya-Allah, dengan sokongan dan semangat ukhuwah yang berterusan, kita dapat menganjurkan lagi majlis seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran buat para perantau yang lahir pada bulan April. Husaimi mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.