Seberang Takir Teruskan Khatan Percuma Ringankan Kewangan Ibu Bapa

KUALA NERUS, 28 Februari - Bersempena musim cuti sekolah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir sekali lagi mengambil langkah mempermudahkan urusan syariat dengan mengadakan siri kedua Program Khatan Percuma buat kanak-kanak di kawasan itu.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program siri kedua tersebut diadakan bagi mengurangkan beban kewangan para penjaga yang kurang berkemampuan.

"Kita sedia maklum, kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat kebelakangan ini sehingga ia membebani bagi segelintir ibu-bapa.

"Alhamdulillah, dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, kita buat lagi pada kali ini," ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman disini hari ini.

Sementara itu, bapa salah seorang peserta, Hamdi Abdullah, 42, berkata, dia bersyukur kerana keperluan tersebut terus mendapat perhatian dan kecaknaan oleh wakil rakyat setempat.

"Alhamdullilah dengan urusan perkhidmatan baik dijalankan PKM Pusat serta teknologi moden urusan khatan pada masa kini, diharapkan program sebegini diteruskan lagi buat dua lagi anak saya akan datang," jelasnya.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, aktiviti tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.


Tag: