Sejarah Penting, Melahirkan Rasa Cintakan Negeri

Ustaz Wan Sukairi berucap dalam majlis tersebut. Foto - Harish Fadzillah
KUALA TERENGGANU - Sejarah adalah merupakan suatu perkara  yang sangat bernilai , yang perlu diketahui oleh generasi sekarang  ini dan akan datang, yang akan melahirkan rasa kasih sayang  kepada rakyat Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peristiwa sejarah yang berlaku dan telah berlaku tidak boleh dipadam dan dinafikan oleh sesiapa pun.

“Samada kita suka ataupun tidak, sejarah tetap sejarah dan setiap generasi yang lahir tumbuh di negara dan negeri perlu mengetahui dan juga menguasai tentang sejarah Negeri Terengganu Darul Iman.


“Dan kita akan menjadi seorang warganegara yang benar-benar hebat, mempunyai semangat untuk mempertahankan (setiap) seinci pun kedaulatan bumi Terengganu dan Negara Malaysia kita ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Asal Usul Terengganu, sempena Bulan Kemerdekaan di Dewan Batu Bersurat, Muzium Terengganu, pada Selasa 28 Ogos.

Turut hadir dan menjadi panel Forum tersebut ialah Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Kamaruzaman Yusof dan Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, Dr Riduan Mohd Nor.


Sehubungan itu, Ustaz Wan Sukairi menyeru seluruh rakyat negeri ini agar meningkatkan kefahaman dan penghayatan kepada sejarah para pejuang kemerdekaan tanah air.

“Apabila kita mengetahui sejarah yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di zaman silam, maka kita sudah tentu akan lebih menghargai mereka.

“Adapun begitu, kita juga perlu mengetahui beberapa perkara tentang sejarah yang telah pun diselewengkan ataupun sejarah  yang  tidak disebut dengan cara yang sebenar,” jelasnya.

Menurutnya, antaranya ialah sejarah tokoh kemerdekaan Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong, seorang Tok Guru yang membuka pondok pengajian agama di Hulu Terengganu.

Abdul Rahman Limbong yang juga pejuang kepada para petani, dilabel sebagai ‘pengganas’ dan didakwa melakukan pemberontakan.


“Hakikatnya Haji Abdul Rahman Limbong ini adalah pejuang yang menentang dan mempertahankan kemasukan Inggeris ke Negeri Terengganu.

“Pondok beliau membuka pengajian umum pada setiap Jumaat, ramai anak murid dari seluruh negeri, ada yang bermusafir sehari semalam, datang menuntut ilmu agama,” tambahnya.

Tag: