• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

SG4: Hasil Sedia Ada Kekal Selaras Undang-Undang Negeri

KUALA TERENGGANU, 15 September – Empat kerajaan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) akan terus menikmati aliran pendapatan sedia ada dan yang akan datang berkaitan dengan tanah, mineral dan sumber lain milik setiap kerajaan negeri di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada melalui penubuhan SG4 Group Sdn Bhd (SG4SB).

Ketua Pegawai Eksekutif TSIS merangkap Ketua Sekretariat SG4, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata ini termasuk tribute, royalti, premium dan lain-lain jenis pendapatan yang perlu dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh setiap syarikat pengusaha.

Menurutnya, keadaan itu tidak jauh beza dengan struktur sedia ada di mana setiap kerajaan negeri menerima bayaran di atas secara terus melalui Perbendaharaan Negeri walaupun jika sesuatu projek itu dilaksanakan oleh GLC Negeri, atau mana-mana syarikat swasta atau perusahaan daripada mana-mana pihak.

“Bayaran lain mungkin termasuk satu peratusan tambahan yang dipersetujui di mana setiap Kerajaan Negeri terima di atas bayaran royalti sedia ada berdasarkan jumlah input sumber yang dibekalkan oleh setiap negeri di dalam penjanaan aliran hasil  yang dijalankan oleh SG4SB.

“Model ini boleh disamakan dengan hasil minyak di mana negeri seperti Terengganu atau Kelantan menerima bayaran royalti berdasarkan peratusan input atau sumber minyak yang dijana daripada negeri-negeri ini. 

“Peratusan pembayaran royalti throughput hendaklah ditentukan berdasarkan persetujuan bersama empat negeri,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Katanya,  selepas mengambil kira pembayaran-pembayaran di atas kepada empat kerajaan negeri, dan kos-kos operasi SG4SB, akan ada keuntungan yang boleh diagihkan sebagai bayaran dividen kepada setiap kerajaan negeri (ataupun kepada syarikat korporat mewakili setiap kerajaan negeri yang memegang saham dalam SG4SB), berdasarkan pegangan ekuiti masing-masing 25 peratus.

Tambahnya, peranan GLC sedia ada di setiap negeri tidak akan  terjejas dalam  meneruskan peranan sedia ada dalam menjalankan inisiatif pelaburan dan projek pembangunan di setiap Negeri. 

“Ini juga termasuk  syarikat dan kontraktor tempatan yang akan terus menjalankan perniagaan dan melaksanakan projek di setiap negeri.  Bahkan, syarikat GLC negeri-negeri ini dialu-alukan untuk turut menyertai usahaniaga perniagaan yang diterokai SG4SB.

“Namun disana, terdapat projek yang berskala besar dan berkepentingan strategik dengan cabaran teknologi tertentu yang memerlukan empat kerajaan negeri bekerjasama untuk menarik pelabur yang bereputasi dan mencapai faedah-faedah yang dinyatakan,”ujarnya.

Menurut beliau, salah satu satu contoh adalah berkaitan dengan cadangan pelaburan yang berkaitan dengan NR-REE, di mana SG4SB perlu bekerjasama rapat dengan GLC-GLC dan agensi-agensi di empat kerajaan negeri ini. 

“Ini akan memberikan empat kerajaan negeri melalui SG4SB kedudukan perundingan yang lebih baik dan syarat yang lebih baik diharapkan dengan pihak pelabur yang berpotensi. 

“Begitu juga, pihak pelabur akan merasa lebih beruntung kerana ia menikmati jumlah deposit atau  rizab yang lebih besar yang boleh bertahan untuk lebih banyak tahun pengoperasian bagi membolehkan pelaburan bernilai jutaan/bilion ringgit dapat dilaksanakan dengan pulangan kewangan yang menguntungkan kepada kedua-dua pihak pelabur dan SG4SB, serta akhirnya kepada empat kerajaan negeri,” jelasnya.

Dr Mohd Hanif juga berkata terdapat juga projek-projek di dalam negeri tertentu yang memerlukan bantuan, kepakaran dan sumber daripada Negeri SG4 yang lain.

“Ini termasuk, sebagai contoh, projek berasaskan pertanian  yang memerlukan kawasan tanah yang luas yang tidak mampu disediakan oleh hanya satu negeri. 

“Oleh itu, SG4SB boleh bekerjasama dengan pelabur dan GLC atau agensi daripada tiga negeri SG4 yang lain dengan model perniagaan tertentu yang akan dipersetujui bersama oleh semua pemegang taruh,”tambahnya.


Tag: