Hishamuddin (tengah) bersama Pasukan TFC di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus. |
KUALA NERUS, 25 Oktober - Kerajaan Terengganu meminta Jawatankuasa Pengurusan Tiket menyiasat bagaimana tiket perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia boleh terjual malam semalam sedangkan penjualan diputuskan, dibuat hari ini.
Timbalan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, sekiranya perlujawatankuasa berkenaan harus membawa kes penjualan itu kepada pihak polis supaya menyiasat bagaimana ia berlaku.
"Kita (kerajaan) tertanya-tanya macam mana ada yang sudah dapat tiket pada malam tadi, saya tidak tahu.
"Sebab itu kita minta Jawatankuasa Pengurusan Tiket menyiasat, hatta kalau dibawa kepada pihak polis sekalipun, kita minta jawatankuasa itu bawa supaya kes ini dapat disiasat.
"Sebab kita hanya membenarkan hari ini sahaja diagihkan tiket dan tiket pun baru sampai kelmarin," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Sidang Media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini, mengulas tentang individu tertentu yang mempamerkan sejumlah tiket perlawanan tersebut dalam video yang diviral di media sosial sejak semalam.
Hishamuddin (kanan) bersalaman dengan salah seorang pemain TFC di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus. |
Turut Hadir, Ketua Jurulatih Pasukan Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.
Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, kerajaan negeri telah menugaskan jawatankuasa tersebut untuk mengagihkan sebanyak 30,000 tiket perlawanan akhir Unifi Piala Malayisa antara TFC dengan Perak di Stadium Shah Alam Selangor, malam 27 Oktober ini.
Penjualan tiket dibuat pada hari ini dan tidak ada pihak dibenarkan membuat penjualan sebelum itu.
Katanya, pihak pengurusan tiket membuat penyusunan tertentu untuk pengagihan dan penjualan tiket tersebut dengan menyerahkan 15,000 tiket termasuk kepada Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu, Kelab Belia, Kelab Sukan, Akademik Bola Sepak, Bekas Pemain, Anggota TFC dan Persatuan Bola Sepak Daerah.
Selain itu katanya, agihan juga dibuat kepada anak-anak Syarikat Kerajaan (GLC), pihak kerajaan sendiri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sekitar 10,000 hingga 11,000 tiket.
Beliau menyarankan agar orang ramai turut menumpukan perhatian kepada penjualan tiket secara online kerana kerajaan menyediakan 10,000 tiket untuk tujuan tersebut.
Beliau berkata, sebanyak 28,000 tiket telah dikeluarkan untuk dijual pada hari ini mengikut agihan tersebut.
Hishamuddin Abdul Karim. |
Baki sebanyak 2,000 tiket lagi, dijual di kaunter tiket Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah, Kuala Terengganu pada hari ini.
"Sebanyak 2,000 yang kita jual ini, setelah kita meletakkan keyakinan di daerah-daerah telah selesai penjualan untuk kawasan masing-masing.
"Jadi 2,000 tiket ini adalah baki yang kita boleh jual di stadium.
"Kalau kita tidak bagi kepada daerah, jumlah jualan di Stadium menjadi 10,000," jelasnya.
Katanya, pengagihan di daerah terserah kepada persatuan bola sepak daerah untuk membuat jualan dan pengagihan.
Bagaimanapun tidak diketahui bagaimana pengagihan dibuat oleh persatuan-persatuan berkenaan di peringkat daerah.
"Jika berlaku kelemahan beberapa permasalahan teknikal, kita (kerajaan) memohon maaf.
"Kita akan membuat satu usaha baik pulih di masa akan datang. Kita akan cuba baiki dengan cara yang terbaik selepas kita menerima 'post mortem' semua sekali dan kita harap tidak berulang jualan tiket seperti yang ada pada hari ini." ujarnya lagi.