Sidang DUN : Jaga Kelestarian Alam Sekitar Dalam Pembangunan Negeri


KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu Kerajaan PAS Terengganu menitikberatkan kelestarian alam sekitar dalam merencana pembangunan negeri.

Sultan Mizan bertitah, walaupun wujud konflik antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar, namun baginda berharap ianya dapat diuruskan dengan sempurna dan bijaksana.

"Beta merasa bangga apabila telah banyak projek berasaskan teknologi hijau yang dilaksanakan di negeri ini bagi menjaga kelestarian alam.

"Terutamanya projek Ladang Solar pertama yang berkapasiti lima Mega Watt (MW) di atas tapak berkeluasan kira-kira 20 ekar di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu yang bermula pada tahun 2012," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Titah baginda lagi, Syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd telah
membangunkan Loji Jana Kuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 MW di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, sekali gus menjadi loji jana kuasa solar terbesar beroperasi di negara ini sekarang.

"Beta dimaklumkan, projek bernilai kira-kira RM86 juta di atas tapak seluas kira-kira 28.3 hektar ini telah beroperasi sejak 14 Januari 2018," titah Sultan Mizan.


Tag: