• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Sidang DUN : Jumlah Pelancong Meningkat 300 Peratus Dalam Tempoh 10 Tahun

Mohd Iskandar ketika sesi perbahasan pada hari kedua persidangan penggal kelima DUN Ke13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.  Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail

Jumlah kedatangan pelancong ke beberapa lokasi pelancongan di negeri ini mencatat peningkatan berganda sepanjang tempoh 2005 hingga 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, jumlah kedatangan pelancong merekodkan peningkatan lebih daripada 300 peratus dalam tempoh 10 tahun itu.

“Ketibaan pelancong ke Negeri Terengganu dalam tempoh berkenaan, telah menunjukkan peningkatan berkali ganda lebih daripada 300 peratus.

“Data yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu menunjukkan, ketibaan pelancong hanya 1.8 juta orang sahaja pada 2005 tetapi 10 tahun kemudian mencatat sehingga 4.7 juta orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, hari ini.

Katanya, kesungguhan kerajaan dalam mempromosi bidang pelancongan juga terbukti dengan pelancaran Tahun Melawat Terengganu yang dijenamakan semula sebagai Visit Beautiful Terengganu 2017.

“Sasaran kerajaan untuk mencatatkan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Negeri Terengganu sebanyak 5.5 juta orang pada tahun ini, Insya-Allah akan dapat dicapai memandangkan kepada program promosi pelancongan yang sedang giat dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu katanya, dari segi pulangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dimana tahun 2012 pulangannya sebanyak RM3.3 bilion. 2013 (RM4.6 bilion) 2014 (RM4.72 bilion) dan 2015 (RM4.64 bilion).

Katanya, usaha mempromosikan bidang pelancongan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah sangat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk mereka yang terlibat dalam bidang politik mahupun rakyat biasa.

Tag: