Sidang DUN : Kaji Cadangan Pembangkang Bina Penempatan Khas Untuk Penagih


Kerajaan negeri tidak menolak mentah-mentah sebarang cadangan pihak pembangkang, termasuk membina penempatan khas untuk penagih dadah, sebagaimana yang dicadangkan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud berkata, cadangan tersebut memerlukan kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, pendekatan yang dibuat oleh kerajaan termasuk penguatkuasan akta setakat ini agak menyakinkan.

“Walau bagaimanapun, cadangan untuk menempatkan mereka ini (penagih dadah) di sebuah pulau agar bekalan dadah sukar diperoleh sepertimana yang dicadangkan wakil pembangkang akan diteliti dan dikaji balik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Abdul Wahid di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.

Roslee (BN-Bukit Besi) berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia memandangkan golongan ini adalah pewaris generasi akan datang.

"Dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilaksanakan termasuk usaha beberapa pusat pemulihan yang telah dibuat oleh NGO dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah ini,” ujarnya.

Tag: