Kedudukan dua pasukan bola sepak negeri dalam saingan liga Malaysia belum ditentukan. Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengambil kira semua cadangan dari pelbagai pihak untuk memastikan sukan bola sepak negeri terus berdaya saing, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurutnya, kerajaan negeri sehingga kini masih dalam proses mendapatkan pandangan semua pihak sama ada bekas jurulatih dan bekas pemain termasuk mereka yang bersama pasukan bola sepak Terengganu FC (TFC)
Menurutnya, kerajaan negeri sehingga kini masih dalam proses mendapatkan pandangan semua pihak sama ada bekas jurulatih dan bekas pemain termasuk mereka yang bersama pasukan bola sepak Terengganu FC (TFC)
"Ada pelbagai pendapat yang diberikan, ada yang meminta supaya kita mengekalkan dua pasukan yang sedia ada dan ada juga pendapat cukup satu dan dibubarkan pasukan yang kedua. Kita juga menerima pandangan tersebut.
"Semua pandangan tersebut kita akan selesaikan dan dimuktamadkan sebaik sahaja penyusunan organisasi yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu dapat dilengkapkan dari sudut penyusunan jawatankuasa sebab sekarang ini jawatankuasa PBSNT ini masih lagi kekosongan.
“Contoh Timbalan Presiden yang dahulu dipegang oleh Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail telah dikosongkan dan untuk itu kita akan mengisi kekosongan itu dan Presiden sekarang iaitu mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman juga dilaporkan akan melakukan serahan tugas kepada bakal presiden yang baharu..saya difahamkan pada 7 Julai ini, pihak persatuan akan mengadakan persidangan mereka untuk melantik dua jawatankuasa tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden PBSNT,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Sidang DUN Ke-14 hari ini.
Wan Sukairi berkata, sebaik sahaja selesai pengisian dua jawatan ini, pihaknya akan melakukan apa yang disebut sebagai melakukan perubahan kepada sukan bola sepak ke arah lebih maju dan boleh menjadi juara semula.
Jelasnya lagi, selepas menyusun kembali PBSNT, pihaknya juga akan mengambil kira sumber kewangan yang sebelum ini berpunca daripada kerajaan negeri yang menjadi penyumbang terbesar kepada bajet di samping sedikit daripada sumbangan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
“Kita juga mendapat makluman bahawa industri bola sepak kita memerlukan bajet yang besar dan apabila selesai menyusun kembali dengan jawatankuasa baru yang bakal dilantik tidak lama lagi, dengan perancangan perubahan yang akan dilakukan bagi menjadikan PBSNT sebagai satu persatuan yang tidak lagi menjadikan kerajaan negeri satu-satunya penyumbang kewangan utama.
“Kita akan cari dana sendiri sama ada tajaan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta atau pelbagai pihak seperti yang kita maklum kita juga ada tabung sukan negeri seperti ucapan YB (Yang Berhormat) Tepuh (Hishamuddin Abdul Karim) yang menyatakan tabung sukan sekarang ini kewujudannya seperti tidak mendapat perhatian daripada semua pihak. Kita akan ambil tindakan segera dan bersungguh bagi memastikan tabung sukan ini penuh terisi, bukan sahaja untuk bola sepak tetapi juga sukan lain,”katanya.