Sidang DUN: Kem Dan Lapangan Terbang Tentera Akan Dibina Di Marang
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini bahawa Terengganu meluluskan kawasan seluas 50.26 hektar di Marang seperti dimohon Kerajaan Pusat untuk projek pembinaan kem latihan dan lapangan terbang tentera di Marang.
“Berdasarkan jumlah itu, seluas 32.7 hektar dicadangkan untuk kerja-kerja membina lapangan terbang manakala selebihnya iaitu 17.56 hektar bagi pembinaan kem latihan tentera.
“Kelulusan berkaitan tanah milik Kementerian Pertahanan itu sudah lama dibuat, tetapi perjalanan projek belum dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat disebabkan faktor tertentu, termasuk masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas - Rhu Rendang).
Menurutnya, kerajaan negeri meminta agar Kementerian Pertahanan turut membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan mengutamakan anggota tentera dan selebihnya untuk penduduk setempat.
“Apabila kawasan itu dimajukan, termasuk dengan wujudnya kawasan perumahan, secara tidak langsung penduduk setempat dapat menjana ekonomi melalui aktiviti jualan barangan runcit, restoran dan pasar basah,”katanya.