Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Kerajaan negeri disarankan agar menubuhkan satu jawatankuasa khas sebagai persedian awal dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang baru dilancarkan pada 22 Mac lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, DFTZ adalah sumber pendapatan baru untuk negara yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan negeri.
“Saya meminta pihak kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T), serta exco-exco cuba fokuskan kembali bagaimana untuk mencari ruang atau sumber pendapatan negara yang terbaru ini.
“Kita tidak boleh lepaskan peluang ini tatkala kita menjalankan aktiviti konvensional, masih mengharapkan kepada pendapatan minyak. Kita perlu fokus dan kumpul segalanya terhadap bagaimana untuk kita dapat mencari pendapatan yang bakal dijana oleh DFTZ ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, hari ini.
Wan Abdul Hakim berkata, teknologi kini sudah berubah apabila ianya turut meliputi landskap kehidupan manusia, pengurusan kerajaan serta pengurusan syarikat.
Tambahnya DFTZ yang baru dilancarkan tersebut dijangka akan memberi beberapa kesan positif kepada negara dalam masa lapan tahun.
“Pertama DFTZ akan menyumbangkan 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara (GDP) menjelang 2025 iaitu sebanyak RM286 bilion serta pertumbuhan eksport akan berganda dalam masa yang sama.
“60,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan turut diwujudkan dalam masa lapan tahun ke hadapan,” katanya.