Sidang DUN : Kerajaan Pusat Perlu Kurang Kadar Pemotongan Royalti


KUALA TERENGGANU, 4 April - Kerajaan Terengganu memohon Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan agar mengurangkan kadar pemotongan hutang royalti gas dan minyak sebanyak 25 peratus kepada harga yang lebih rendah atau munasabah.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kadar pemotongan hutang menerusi wang tunai petroleum (WTP) yang ditetapkan Kementerian Kewangan itu terlalu tinggi dan boleh memberi tekanan kepada Terengganu.

“Kerajaan negeri sudah menghantar surat rayuan berkaitan perkara itu selain menyatakan alasan tidak mahu menjejaskan perancangan dan perjalanan perbelanjaan dirangka dalam Belanjawan Terengganu 2019 yang sudah dibentangkan pada akhir November tahun lalu.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini, Kerajaan Terengganu masih belum  menerima maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan sama ada setuju atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Bazlan Abd Rahman (BN-Batu Rakit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, Terengganu telah memperoleh wang royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sebanyak  RM1.054 bilion secara berperingkat-peringkat pada tahun lalu.

Katanya,  bayaran pertama yang diterima adalah pada 10 April iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM604 juta, selebihnya RM100 juta  pada 21 Ogos, RM200 juta (8 Oktober) dan bayaran terakhir bagi tahun lalu adalah pada 12 Disember sebanyak RM150 juta.

“Ingin saya jelaskan juga pada tahun 2019, kerajaan negeri telah menerima bayaran royalti sebanyak RM193.18 juta yang mana jumlah ini adalah wang tunai petroleum yang sepatutnya diterima pada tahun 2018.

“Tetapi diruncit-runcit sampai yang terakhir dibayar pada Januari tahun ini.. Dan jumlah tersebut iaitu RM193.18 juta, adalah jumlah bersih setelah ditolak siap-siap sebanyak 25 peratus oleh kerajaan pusat,” katanya.




Tag: