Sidang DUN : Kutipan Hasil Terengganu Berjumlah RM1.792 Bilion Tahun Lalu


KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1.792 bilion tahun lalu dan menurun sebanyak RM280.34 juta berbanding tahun sebelumnya.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bertitah, penurunan itu disebabkan oleh Terimaan Bukan Hasil berpunca daripada bayaran royalti minyak berkurang sebanyak RM317.57 juta atau 17.38 peratus.

"Namun demikian, Beta berasa sukacita kerana Hasil Cukai tahun 2018 telah meningkat kepada RM77.99 juta berbanding RM57.46 juta tahun sebelumnya.

"Hasil Bukan Cukai juga meningkat daripada RM188.58 juta kepada RM205.29 juta," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Keempat Belas, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali,  Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,  Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Sultan Mizan bertitah bahawa baginda turut berasa sukacita dan bersyukur apabila jumlah kutipan zakat sentiasa meningkat setiap tahun.

Titahnya, pada tahun lalu, jumlah kutipan zakat adalah sebanyak RM160.37 juta meningkat sebanyak RM22.42 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM137.95 juta.

"Beta mengucapkan syabas dan tahniah terutamanya kepada kerajaan negeri dan warga kerja Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) kerana telah melaksanakan tanggungjwab dan amanah yang diberikan dengan jayanya," titah baginda lagi.


Tag: