Sidang DUN : Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Majukan Ekonomi Negeri


KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri menyediakan Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 untuk memajukan ekonomi negeri dan meningkatkan pendapatan rakyat khususnya di luar bandar.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, baginda dimaklumkan bahawa pelan berkenaan yang merangkumi enam teras strategik meliputi sektor pertanian, perikanan, penternakan, industri asas tani dan kulinari.

Titah baginda, pelan tersebut telah disusun dengan memfokuskan beberapa strategi bagi tahun pertama 2019 iaitu strategi pertama adalah fasa pemulihan semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani yang telah sedia ada.

"Strategi kedua mengemaskini semula status tanah-tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan.

"Dan strategi ketiga memanfaatkan tanah-tanah pertanian kosong serta memperkayakan sumber perikanan dan penternakan," titahnya.

Beliau bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke 14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Baginda berharap, pelan strategik hala tuju pertanian bagi tempoh lima tahun berkenaan akan digembleng dan dimanfaatkan sepenuhnya dengan harapan ianya berjaya memajukan lagi ekonomi negeri ini.


Tag: