• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Sidang DUN : Perluaskan Trenglish Ke Lebih Banyak Sekolah




Kerajaan negeri diharap supaya memperluaskan program Trenglish ke lebih banyak sekolah berikutan banyak kesan positif dan kejayaan yang direkodkan peserta-peserta program tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pada tahun lepas terdapat peningkatan kelulusan dalam Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 3.25 peratus bagi peserta yang menyertai program tersebut.

Katanya, sehingga kini, hanya beberapa sekolah di Terengganu sahaja yang terlibat dalam program tersebut dan bilangan itu merangkumi beberapa peratus sahaja dari keseluruhan sekolah di Terengganu.

“Program tersebut hanya melibatkan sebahagian kecil, iaitu 37 buah sekolah sebagai perintis dan 50 buah sekolah pada tahun ini.  Bermakna hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah 501 sekolah di negeri Terengganu yang terlibat dalam program tersebut.

"Kita berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian dan menambah peruntukan untuk program ini bagi meningkatkan mutu pencapaian kepada anak-anak Terengganu.  Mungkin diperluaskan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan sekolah yang ada di negeri ini sebagai komited meningkatkan pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini.

Dalam masa yang sama, Bazlan turur memberi cadangan agar memberi perhatian semula kepada sekolah-sekolah elit dan premier di Terengganu dengan mengaktifkan beberapa bidang yang boleh menonjolkan kreativiti pelajar seperti robotik, aeronatik, memanah, astronomi dan sukan berkuda.

"Satu ketika dahulu, sekolah-sekolah ini sering menjadi pilihan pelajar cemerlang, namun akhir-akhir ini ia agak suram.

“Mungkin sekolah-sekolah ini kembali menjadi rebutan sekiranya ada keistimewaan dan keunikan tersendiri di sekolah tersebut," katanya.

Tag: