• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Sidang DUN : RM85 Juta Dibelanja Untuk Bandar Baharu Kuala Nerus


Kerajaan negeri setakat ini hanya membelanjakan RM85 juta kepada kontraktor yang dipertanggungjawabkan daripada keseluruhan peruntukan RM600 juta bagi melaksanakan projek pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus.

Ir Rosli Othman (BN-Kemasik) berkata, projek berkenaan menggunakan konsep bayaran tertangguh dengan kerajaan negeri hanya akan menjelaskan pembayaran sebanyak RM70 juta setahun dan bukannya berdasarkan kemajuan projek. 

"Projek Bandar Baharu Kuala Nerus dirancang pada 2013 dan ianya dijangka akan mengambil masa kira-kira sembilan tahun untuk disiapkan.

"Setakat ini, kemajuan projek itu sudah mencapai 30 peratus, termasuk pembinaan jalan masuk dan landskap," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azan Ismail (PKR-Bandar) mengenai kemajuan serta jumlah peruntukan dan perbelanjaan sehingga kini bagi projek itu, di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.

Sementara itu, Ir Rosli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menjadikan pokok gergasi, 'Ceiba Chodatii' sebagai ikon atau simbol untuk Bandar Baharu Kuala Nerus.

Katanya, pokok itu hanyalah sumbangan kontraktor utama projek bagi pembangunan bandar baharu yang bertujuan memperindahkan landskap, menambah tarikan dan keunikan di Bandar Kuala Nerus. 

"Dakwaan dan tohmahan yang tersebar kononnya pokok itu akan menjadi ikon Kuala Nerus di laman sosial adalah tidak benar, disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya ingin menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat," ujarnya menjawab soalan tambahan lisan Azan berhubung dakwaan menjadikan tanaman itu sebagai ikon. 

Menjawab soalan tambahan Hishammuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) sama ada sumbangan dari kontraktor untuk mana-mana projek kerajaan adalah amalan biasa, Ir Rosli berkata ia bukan amalan kerajaan negeri, namun jika sumbangan tersebut diberi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), ia diterima dengan tangan terbuka.

"Saya juga menafikan terdapat dua pokok gergasi itu di Kuala Nerus, sebaliknya yang ada hanya satu pokok sahaja. Buat pengetahuan semua juga, penyelenggaraan pokok ini juga akan dibuat oleh kontraktor itu secara percuma, langsung tidak membabitkan duit kerajaan negeri, " katanya.

Pembinaan Bandar Baru Kuala Nerus bermula pada Disember 2015 dan dijangka siap pada Disember 2020, namun melalui laporan kemajuan projek, sehingga kini dijangka bangunan pentadbiran boleh mula digunakan pada Disember 2018.

Tag: