Sidang DUN: Selesai Masalah Bekalan Air Pulau Redang

Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau kaji langkah terbaik menyelesaikan masalah air Pulau Redang.
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kerajaan Terengganu masih berusaha menyelesaikan masalah gangguan bekalan air ke Pulau Redang dengan melaksanakan kajian terhadap beberapa pilihan yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, masalah tersebut berlaku kerana keadaan paip yang telah berusia.

"Paip yang menyalurkan air dari tanah besar ke pulau berkenaan telah berusia lebih 20 tahun dan sejak beberapa tahun lalu, sering mengalami kebocoran.

"Tahun ini sahaja, sudah lima kali paip tersebut pecah dan telah memakan kos lebih RM250,000 untuk dibaiki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Dr. Mamad juga menyatakan cadangan pilihan iaitu meproses air laut sebagai air bersih memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

"Bagi projek penggantian paip, kita menganggarkan lebih kurang RM100 juta diperlukan berdasarkan tawaran yang dikemukakan beberapa syarikat yang menjalankan kajian.

"Kita juga melihat cara ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang," katanya yang turut mengemukakan masalah tersebut kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar yang berkunjung ke Terengganu, kelmarin.

Dalam kunjungan itu, Dr. Xavier turut meluluskan projek Sewage Treatment Plant (STP) bagi Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang bernilai antara RM55 dan RM56 juta setiap satu.


Tag: