Sidang DUN : Sultan Mizan Bimbang Keamanan Malaysia Tergugat


KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bertitah melahirkan rasa bimbang kerana sejak akhir-akhir ini ada pihak tertentu, cuba menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan Malaysia yang terbina sejak sekian lama.

Baginda bertitah, ada pihak berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan institusi diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Beta mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti ini tidak menular di negeri ini," titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Keempat Belas, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Baginda bertitah, Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berlalu hampir setahun.

Justeru, Sultan Mizan berasa sukacita dengan kepimpinan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana telah berjaya mengamalkan konsep kepimpinan yang matang dan sejahtera.

"Beta melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat Beta tanpa mengira mana-mana parti terserlah demi memastikan negeri Terengganu Darul Iman menjadi antara negeri paling harmoni di negara ini." titah baginda.

Justeru Sultan Mizan menyeru supaya semua piahk mengenepikan politik kepartian dan beri keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri.

"Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain," titah baginda lagi.



Tag: