Sidang DUN: Terengganu Catat Pengurangan Golongan Miskin Tertinggi
Terengganu muncul negeri yang berjaya mengeluarkan miskin dan miskin tegar tertinggi di negara ini, menerusi data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menerusi data itu juga, Terengganu kini berada di tangga ke-13 yang merekodkan miskin tegar terendah.
Beliau berkata, penilaian tersebut dibuat berasaskan kepada golongan miskin di negeri ini menerima banyak bantuan daripada pihak kerajaan samada negeri atau Pusat.
“Hari ini, golongan miskin akan terus menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah dikenal pasti.
“Golongan miskin di negeri ini juga turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri seperti dana raya, dana pakaian sekolah serta bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas selesai sesi penggulungan di Persiidangan DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, untuk mengeluarkan golongan miskin tersebut, pelbagai program turut dijalankan oleh kerajaan negeri melalui agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan serta Yayasan Pembangunan Keluarga.
Ahmad Razif berkata, skim baucer juga akan diperkenalkan bermula tahun hadapan melalui Tabung Darul Iman bagi membantu golongan miskin.
“Skim baucer yang akan diperkenalkan ini adalah untuk membantu memberikan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula setiap bulan kepada golongan ini.