Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
SIDANG DUN : Terengganu Haramkan Penjualan Telur Penyu Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 18 November - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini telah meluluskan pindaan Enakmen Penyu (Pindaan 2021).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pindaan ini dibuat bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dan pemuliharaan penyu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Pindaan ini akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2022 nanti.
"Ia juga bertujuan untuk mengekalkan khazanah berharga negeri yang menjadi ikon kepada negeri ini.
Tambah Dr. Azman, Enakmen yang telah diluluskan pada 1951 ini telah dipinda buat pertama kali pada tahun 1987 dan pada tahun 1989 ia telah dipinda buat kali kedua.
"Jika dahulu kita hanya melarang penjualan telur penyu belimbing sahaja.
"Melalui pindaan ini, kita telah melarang penjualan telur bagi semua spesies penyu di negeri ini.
"Pindaan ini juga membolehkan penubuhan sesuatu tabung pemuliharaan dan
penggenaan sesuatu caj dapat dilaksanakan melalui penubuhkan Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu," katanya ketika ditemubual selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Jelas Dr. Azman, pindaan ini juga telah menaikkan kadar hukuman sedia ada kepada RM 50,000 hingga RM 250,000.
"Pindaan kadar hukuman ini adalah bertujuan untuk mencegah, bukan untuk menghukum rakyat kita," katanya.