Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM

KUALA TERENGGANU, 23 April- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu hari ini memberi  penghormatan terakhir dan membacakan surah Al Fatihah  terhadap mangsa-mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pagi tadi.

Ucapan rakaman takziah itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi. ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.

"Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter milik TLDM di Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita terkorban. 

"DUN Sura ingin mengambil perhatian sidang dewan agar kita semua dapat membaca al-Fatihah untuk perajurit kita yang terkorban. Salam takziah daripada kami, ADUN Terengganu," katanya.

Dalam kejadian tersebut, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.

Seramai 10 kru terbabit insiden iaitu tujuh kru Helikopter HOM TLDM manakala tiga kru Fennec TLDM.

Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.