Sidang DUN : Terengganu Tuntut Baki Hutang Projek Perumahan


KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan negeri berharap akan menerima baki bayaran hutang projek perumahan berjumlah RM440 juta daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu adalah baki daripada hutang RM2.2 billion yang perlu dibayar di mana sebelum ini iaitu ketika di zaman pimpinan Kerajaan Barisan Nasional, Terengganu telah menerima bayaran sebanyak RM1.760 billion.

Katanya, kaedah pembayaran tunggakan itu telah dipersetujui secara ansuran dengan menetapkan bayaran berjumlah RM220 juta pada Januari setiap tahun.

“Berdasarkan rekod bayaran telah dibuat sebanyak lapan kali dan penerima bayaran terakhir adalah Januari  tahun lalu.

“Manakala baki bayaran RM440 juta yang sepatutnya dibayar RM220 juta pada Januari tahun ini dan RM220 juta lagi pada tahun depan masih belum diterima,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Menurut Dr. Samsuri, pihaknya ada menerima surat penangguhan bayaran balik daripada Kementerian Kewangan, tetapi tidak dinyatakan tempoh penangguhan dan tarikh bayaran hutang berkenaan akan dilangsaikan.

“Oleh itu Kerajaan Terengganu  akan menghantar surat rayuan supaya mempercepatkan proses pembayaran agar segala projek perumahan yang dirancang berjalan lancar.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan turut merayu pembayaran balik baki hutang projek Lebuh Raya Pantai Timur II yang dilaksanakan kerajaan terdahulu  berjumlah RM1.43 billion.

“Jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah tertentu,”katanya.


Tag: