Sidang DUN : Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Jangka Dibuka Julai Ini
Zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir dijangka akan mula beroperasi Julai ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, terdapat kelewatan dalam menyiapkan pembangunan di Tasik Kenyir mengikut jadual akibat faktor yang tidak dapat dielakkan.
"Memang kita akui ada kelewatan sebanyak 15 peratus disebabkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini didapati bahawa aras air naik melampau sebanyak dua kali sepanjang tempoh itu menyebabkan kerja pembangunan tergendala.
"Pada bulan Julai ini Insya-Allah kita akan memulakan operasi pulau bebas cukai di Tasik Kenyir kerana dari segi kuarters, pejabat kastam serta dari segi urusan pentadbiran sudah selesai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pergulungan Persidangan Penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Razif (BN-Seberang Takir) berkata kerajaan negeri turut bercadang untuk menempatkan pusat kajian dan galeri di santuari kelah di Tasik Kenyir memandangkan kawasan tersebut adalah tempat tumpuan orang ramai.
Katanya, buat masa sekarang, kerajaan sedang melakukan perbincangan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mewujudkan pusat kajian dan galeri itu.
"Mungkin lepas ini pelancong yang tidak mahu ke santuari kelah boleh brada di galeri untuk melihat aktiviti yang berkait santuari kelah.
"Yang ini kita akan laksanakan kerana kita nampak potensi yang agak tinggi di Tasik Kenyir," katanya.