'Signature' Tanjung Sabtu Diangkat Ke Pentas Nasional
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Acara tradisi masyarakat sekitar yang sinonim dengan Tanjung Sabtu iaitu perlumbaan perahu panjang yang berakhir Sabtu, bakal diangkat sebagai acara ikonik dalam kalendar pelancongan Terengganu pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, kesungguhan ditunjukkan penganjur yang melibatkan pihak keselamatan, pejabat daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penduduk kampung berpotensi membawa program itu ke peringkat lebih berprestij.
"Dalam program bertaraf antarabangsa atau nasional, saya tidak mahu ambil rancangan daripada kerajaan negeri, sebaliknya kita mahukan sokongan daripada rakyat (dalam menjayakannya). Sebab itu saya tanya tadi kepada masyarakat di sini sama ada ingin pergi kepada peringkat nasional atau antarabangsa?.
"Melihat kepada semangat mereka, saya ambil jalan tengah supaya untuk tahun 2025, kita angkat perlumbaan perahu panjang di Tanjung Sabtu ini sebagai acara nasional.
"Dari situ, kerajaan negeri di bawah Jabatan Pelancongan Terengganu akan ambil bahagian untuk bekerjasama dengan pasukan penganjur dan kita akan bincang dari sudut promosi setahun sebelum penganjurannya. Kalau tahun depan berjaya, maka kita akan angkat lagi bertaraf antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024, pada Sabtu yang menyaksikan kehadrian lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari festival berlangsung.
Hadir sama ialah ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan bersama pihak berkuasa terlibat iaitu Bomba, Polis dan Agensi Pertahanan Maritim Malaysia (Maritim).
Tambah Razali, acara tersebut bakal dijadikan penutup tahunan serta diangkat sebagai salah satu aktiviti pelancongan ketika Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu.
"Kita sebenarnya sudah masukkan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu, cuma belum diangkat sebagai 'signature event', selepas ini akan diangkat sebagai acara ikonik bagi bulan Disember sebagi penutup aktiviti pelancongan tahunan.
"Kerajaan negeri ingin angkat 'signature event' ini untuk melihat orang kampung sekitar dapat cari makan, tidaklah orang kata musim tengkujuh perlu tutup perniagaan di Terengganu.
"Cuma, kadang-kadang mari musibah (banjir), jadi kena hadapi walaupun bukan tiap-tiap tahun dan kalau ada kesungguhan Tourism Terengganu akan buat perancangan, promosi dan sebagainya," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, lebih tujuh juta kehadiran pengunjung ke Terengganu telah direkodkan pada hujung tahun ini.
"Cuma, pelancong yang hadir banyak datang dengan kereta, dengan penerbangan kurang kerana mereka lebih suka 'ride', 'drive' sejauh 200-300 kilometer juga dengan bas. Homestay (sering) penuh, hotel melebihi sasaran bilangan tempahan.
"Pendapatan pelancongan walaupun menjadi kedua terbesar selepas industri minyak dan gas, tetapi kerajaan negeri hanya dapat melalui cukai sekitar 15 peratus dan yang lainnya terus kepada pemain industri.
"Namun sekurang-kurangnya dalam kekangan ekonomi dalam tekanan kerajaan Persekutuan ini, kita berjaya juga memberi peluang perniagaan dan pendapatan kepada rakyat negeri ini," tambahnya.