• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Sijil Halal : ‘Mereka Parti Ekstrem Sebenar’ - Khalil Bidas DAP

KUALA TERENGGANU, 8 September - Exco Kerajaan Terengganu membidas DAP dengan menegaskan bahawa parti tersebut adalah golongan ekstrem sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ‘belang’ DAP boleh diteliti dalam beberapa insiden terutama apabila melibatkan Islam.

Katanya, kenyataan terkini Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok merupakan satu contoh sikap ekstrem dan melampau parti itu terhadap Islam. 

“Kita tak nafi ada kelemahan dalam proses persijilan halal yang wajar dimurni dan diperkasakan untuk kemudahan rakyat. 

“Namun, sepatutnya kita rakyat Malaysia berbangga kerana sijil Halal Malaysia antara yang terbaik di dunia dan diiktiraf negara-negara lain. 

“Tetapi itulah sikap DAP, mereka tuduh orang lain ekstrem padahal mereka yang sebenarnya ekstrem. Lagi-lagi benda berkait Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) yang membantah cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Kata Teresa Kok, ia berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

“Langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara,” ujar Ahli Parlimen (PH-DAP) Seputeh terbabit.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama DAP terkait dalam isu kontroversi berkait Islam, sebelum ini Ahli Parlimen Beruas (DAP), Ngeh Koo Ham mahu kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Di samping itu, DAP juga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila pernah mempertahankan tindakan mempromosi arak di sekolah.


Tag: