Skim Khas RTB Dibuka Mulai Hari Ini, Pemohon 21 Tahun Ke Atas

Ahmad Razif menunjukkan lamang sesawang permohonan skim khas RTB yang turut boleh diakses melalui telefon pintar. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Rakyat Terengganu khususnya golongan kurang berkemampuan menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk pembinaan rumah kediaman dilaksanakan secara terbuka dan tanpa had usia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jika sebelum ini syarat permohonan kepada yang berumur antara 21 hingga 40 tahun, bagaimanapun hasil mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, permohonan dibuka kepada 21 tahun ke atas tanpa had umur.

Katanya, pada masa ini sebanyak 5,939 lot tanah kosong sudah dikenal pasti dimana Setiu (3362), Dungun (1332), Kemaman (928), Kuala Terengganu (109),Marang (71), Besut (69), Hulu Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing (34) dan jumlahnya tidak bersifat statik kerana ianya akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

 “Pejabat Tanah dan Galian Negeri berjaya mengenal pasti setakat ini sebanyak 5,939 lot tanah.

“Terdapat daerah contohnya Kuala Nerus dan Hulu Terengganu yang menawarkan jumlah lot tanah yang lebih kecil berbanding daerah lain berikutan daerah tersebut belum lagi membuka RTB.

“Justeru, saya sudah minta pentadbir tanah mulai sekarang mengenalpasti mana-mana tempat yang boleh kita jadikan RTB di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Skim Khas RTB  Tapak Rumah 2017 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti tanah-tanah Kerajaan Pusat yang belum digunakan untuk ditukarkan kepada lot-lot tanah supaya boleh diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

Ahmad Razif berkata, semua rakyat Terengganu yang memenuhi syarat akan berpeluang memiliki tanah sendiri apabila permohonan skim khas RTB ini dibuka  secara online mulai jam 5 petang ini menerusi laman sesawang http://tanahrtb.terengganu.gov.my

Tag: