Slogan Hulu Terengganu Hulubalang, Jadi Inspirasi Capai KPI.
Slogan `Hulu Terengganu Hulubalang' menjadi sumber inspirasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sepanjang tahun ini dalam sektor pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri,Dato’Tengku Putera Tengku Awang berkata, memandangkan Hulu Terengganu berjaya merangkul pelbagai kejayaan setiap tahun,beliau berharap kecemerlangan itu dapat dipertahankan tahun ini sekali gus melonjakkan lagi pencapaian daerah ini ke tahap lebih tinggi.
"Pelbagai kejayaan yang diperolehi telah menyuntik semangat kita yang kemudiannya pemilihan `tagline’ ini bersesuaian kerana lambang hulu balang itu sendiri mempertahankan keselamatan,hidup mati serta daya perjuangan dalam menyokong dan menjayakan visi negara.
"Ia terbukti berhasil apabila daerah Hulu Terengganu berjaya mengekalkan kejayaan dalam pelbagai bidang pendidikan dan hasilnya Terengganu terus maju dan melahirkan masyarakat yang berjaya," kata Tengku Putera.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Bicara Tokoh Bersama Pendidik dan Pelancaran Tagline Hulu Terengganu 2017 di Dewan Langgar Hilir,Pusat Khidmat Masyarakat OKB, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail berkata pemilihan hulubalang sebagai tagline bersesuaian dengan sifat berani berjuang,semangat jati diri dan tidak mudah mengaku kalah yang mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar,para pendidik dan ibu bapa.
"Saya amat berharap dengan tagline ini,daerah Hulu Terengganu mampu mencapai momentum kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi.
"Buat masa sekarang Hulu Terengganu berada di kedudukan terbaik di peringkat negeri dalam banyak perkara...mana-mana yang kita terlepas,kita akan rebut kembali."ujarnya.
Menurut Jalaluddin lagi,pihaknya akan berusaha melahirkan mereka yang berani mencabar diri,mahir berfikir,mempunyai kemahiran kolaboratif serta komunikasi kerana ini adalah elemen-elemen penting untuk menjadi murid alaf baru.
"Hari ini kita juga lancarkan buat pertama kali lagu hulubalang sebagai lagu tema Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi menyuntik semangat kepada warga pendidik dan para pelajar dalam merealisasikan hasrat mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
"Lagu ini dicipta hasil daripada kesepakatan idea dan mengambil masa agak lama untuk dilahirkan kerana kita nak liriknya menjurus erti kata sebenar hulubalang itu dalam perjuangan di dunia pendidikan,"katanya.