lightning-solid
Berita :
SMK Bukit Sawa Juara Pertandingan Rekacorak YTNZ, Bawa Pulang RM3,000
SMK Bukit Sawa Juara Pertandingan Rekacorak YTNZ, Bawa Pulang RM3,000
Noraini Jusoh
20 Nov 25
145

KUALA TERENGGANU, 20 November –  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang telah berjaya memenangi anugerah utama bagi Pertandingan Rekacorak Tradisional & Kontemporari (berkumpulan) peringkat pelajar Tingkatan Enam Rendah Negeri Terengganu anjuran Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) dengan kerjasama Maidam Property Sdn Bhd.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi YTNZ, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja di Dewan Azzahra, Istana Sharqiyyah, semalam.

YTNZ dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan tersebut membolehkan SMK Bukit Sawa membawa pulang sijil dan wang tunai RM3,000.

"Pertandingan yang julung kali diadakan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 11 buah sekolah dari lima daerah, membuktikan betapa kaya dan kreatifnya anak muda Terengganu dalam bidang seni visual dan reka corak.

"Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif YTNZ dalam memupuk bakat seni visual dalam kalangan generasi muda serta memelihara warisan seni reka corak Terengganu yang semakin dilupakan," ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut pemenang bagi pilihan penaung pula menjadi milik SMK Intan Zaharah, Dungun (berkumpulan) yang meraih sijil dan wang tunai RM1,000.

"Sementara, pemenang pilihan pengerusi dimenangi Muhammad Arif Aiman Mohd Hamdan (perseorangan) dari Kolej Tingkatan Enam, Hulu Terengganu sekali gus melayakkannya menerima sijil dan wang tunai RM1,000," ujar kenyataan tersebut.


Tag :

Artikel Berkaitan