SPEG Atasi Gangguan Gajah Liar di DUN Langkap

SETIU, 29 September - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengatasi gangguan gajah liar.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pemasangan itu sebagai usaha mengekang pencerobohan gajah daripada memasuki kawasan kebun milik penduduk Kampung Bukit Mundok dan Kampung Alor Lek.

"Pemasangan pagar sejauh empat kilometer melibatkan kos sebanyak RM170 ribu ini telah dibuat secara bersama penduduk bermula pada 23 September dan siap pada semalam dalam tempoh 6 hari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sistem Pagar Elektrik Gajah dari Perhililitan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mundok dan JPKK Alor Lek. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mengucapkan terima kasih kepada Perhililitan atas peruntukan sistem pagar.

Azmi Maarof berkata, masyarakat menghargai peruntukan kerajaan itu bagi mengatasi masalah gangguan gajah liar.

"Harapannya penduduk kampung dapat memainkan peranan secara aktif untuk menyelenggara pagar ini sebaiknya supaya pagar ini dapat bertahan lama," jelasnya.


Tag: