• 07 Nov 2024 | 05 Jamadil Awal 1446

Stadium Terengganu Cipta Sejarah Baru Harimau Malaya

KUALA NERUS, 21 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) melakar sejarah baru sebagai kubu terkuat Harimau Malaya, selepas berjaya mencatat kemenangan terbesar di halaman sendiri.

SSMZA menjadi saksi amukan skuad Harimau Malaya setelah membenam Papua New Guinea 10-0 dalam aksi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, malam tadi.

Minggu lalu, skuad kendalian, Kim Pan Gon berjaya merakam kemenangan 4-1 ke atas negara yang menghuni tangga ke-134 dunia, Kepulauan Solomon.

Seramai 9,592 orang penyokong hadir semalam dan kebanyakan mereka mula membanjiri perkarangan gelanggang sekitar jam 5 petang semalam.

Skuad Harimau Malaya dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan.

Kemenangan sempurna Harimau Malaya itu dibantu empat jaringan Arif Aiman Hanapi serta hatrik Paulo Josue pada babak kedua.

Papua New Guinea bagaikan tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang berpesta gol pada perlawanan itu.

Kesemua penyokong di seluruh negara yang hadir pada malam itu menunjukkan reaksi positif dan berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Harimau Malaya.

 


Tag: