Kerjasama Khas Antara Negeri dan Persekutuan Perkasakan Biodiversiti

KUALA TERENGGANU, 6 November – Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengadakan kerjasama khas dari segi kepakaran saintifik dan teknikal, data yang komprehensif, sumber kewangan dan juga penyelarasan dasar agar dapat memperkasakan lagi biodiversiti di Terengganu. 

Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin  bertitah ia sekali gus membuka satu bentuk kerjasama dengan pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, masyarakat setempat, pencinta alam dan entiti lain untuk bersama-sama memenuhi kewajipan menjaga kepelbagaian biologi, untuk kelangsungan hidup masa depan untuk manfaat seluruh negara.

“Saya berharap pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan khususnya kepada struktur pengurusan biodiversiti di peringkat Negeri dapat diperkasakan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi segala keperluan biodiversiti.

“Dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kelestarian biodiversiti, ia turut memainkan peranan dalam menjayakan agenda negara melalui Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2022-2030. 

“Dengan cara ini, kita juga boleh memastikan bahawa pengalaman seperti yang diceritakan oleh Sir Hugh Clifford, masih kekal dan ia berterusan untuk warisan generasi akan datang,”titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Seminar Biodiversiti Terengganu 2024: Safeguarding Biodiversity For A Sustainable Future di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tengku Muhammad Ismail juga bertitah, inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan menubuhkan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dan mewartakan beberapa tapak sebagai Taman Negeri, adalah sangat positif.

“Momentum dalam memastikan kepelbagaian biologi termasuk genetik aspek, spesies dan ekosistem dapat diurus dengan lebih baik dan inisiatif itu perlu diteruskan.

“Kita tidak boleh leka kerana biodiversiti masih berdepan dengan pelbagai krisis yang boleh menyumbang kepada kemerosotan dan kehilangannya.

“Terdapat beberapa elemen yang memerlukan perhatian, yang boleh mengancam biodiversiti seperti perubahan iklim, kemusnahan habitat, pencerobohan spesies, pencemaran kimia, pencemaran atmosfera dan lain-lain,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan harapan bahawa semua pihak akan memberi perhatian dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu biodiversiti, bukan sahaja di negeri Terengganu malah di seluruh Malaysia.


Tag: