KUALA TERENGGANU, 26 November – Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu diingatkan agar tidak menjadi pengkhianat di negeri sendiri susulan tindakan parti itu menyatakan royalti bukan hak mutlak Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat menegaskan, kenyataan sembrono PAN dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat,memandangkan negeri ini telah menerima royalti minyak sejak sekian lama.
"Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana bertentangan dengan pendirian pemimpin PAN sendiri sebelum ini.
"Ketika di peringkat awal politik mereka, pemimpin PAN lantang menyatakan bahawa royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu.
"Namun kini, mereka dilihat 'berpatah arang' dengan menafikan hak rakyat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, royalti minyak adalah hasil bumi Terengganu dan ia menjadi hak negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petronas 1975.
"Pemimpin yang kata ini bukan hak mutlak Terengganu sebenarnya telah mengkhianati negeri sendiri,” ujar beliau.
Jelas Satiful, pengkhianatan terhadap Terengganu ini tidak mustahil akan menyebabkan rakyat terus menolak parti tersebut.
"Bagaimana rakyat hendak beri kepercayaan kepada mereka jika mereka sendiri yang mengkhianati rakyat.
"Ini bukan saja menunjukkan ketidaktelusan, tapi juga hilangnya rasa hormat terhadap hak rakyat,” katanya.
Semalam Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir mengatakan royalti minyak bukan hak mutlak Terengganu.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana sebelum ini PAN Terengganu menerusi ketuanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata royalti petroleum adalah hak rakyat Terengganu.