Pelik, Perjuang Kebebasan Bersuara Tidak Selantang Lawan Hukum Islam
STPM 2018: Nur Syahidah Tebus Kegagalan SPM
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Kegagalan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menghalang Nur Syahidah Hassan, 20, muncul pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.
Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) itu memperoleh 5A dalam peperiksaan STPM yang diumumkan hari ini.
Nur Syahidah berkata, dia sedaya mungkin melakukan yang terbaik dalam peperiksaan STPM selepas kecewa dalam keputusan SPM dan Penilaian Menengah Rendah sebelum ini.
Katanya, alhamdulillah dengan pertolongan Allah S.W.T, berkat doa ibu ayah, guru dan hasil hubungan baik dengan semua orang, dia mampu memperoleh keputusan yang membanggakan hari ini.
“Apa yang diperoleh itu berkemungkinan hikmah daripada kegagalan meraih keputusan cemerlang dalam tiga peperiksaan utama sebelum ini.
“Dalam SPM, saya hanya memperoleh 5A 5B 1C, sedangkan saya antara pelajar harapan guru yang menjangkakan mampu memperoleh 11A,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Pelajar STPM di SMAASZA, di sini, hari ini.
Nur Syahidah antara 36 calon STPM di sekolah itu di mana SMAAZA turut diumumkan sebagai sekolah kedua terbaik mencapai keputusan semua principal (5P/4P) tertinggi.
Katanya, atas nasihat ibu (Norhidayah Mustafa, 50) dan saranan guru supaya mengambil STPM, dia memilih SMAAZA bagi menebus kegagalan dan alhamdullilah, apa yang diimpikan kini menjadi kenyataan.
“Tiada rahsia istimewa cuma amalkan bangun seawal pagi untuk menunaikan solat tahajud, membaca surah Yasin dan beberapa surah tertentu agar Allah permudahkan niat dan hajat,” katanya.