Suami Isteri Lega Masalah Pagar Kebun DiBaik Pulih




Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 12 Mac – Sepasang suami isteri di Kampung Alor Ketitir, kini menarik nafas lega apabila masalah pagar kebun mereka itu dibaik pulih.

Semua hasil bantuan baik pulih ini diselesaikan dengan cara Corporate Social Responsibility (CSR) oleh kakitangan pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) Pengkalan Berangan dengan kerjasama  Jabatan Pertanian Alor Ketitir Daerah Marang melalui projek khas pertanian.

Hasmah Daud, 52,  tidak mampu menyiapkan pemasangan pagar kebun akibat masalah kewangan di tambah dengan masalah suaminya, Sarike Hassan, 55, yang uzur akibat menghidap penyakit saraf serta masalah penglihatan.

"Saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kerana aktiviti sebegini dapat dilakukan dan menyelesaikan masalah yang saya alami, dan selepas ini saya dapat tidur dengan lebih lena.

“Terima kasih kepada wakil rakyat yang sudi membantu dan kepada semua yang terlibat dalam membantu kami berdua," kata Hasmah ketika ditemui media Urus Setia Penerangan darul Iman (UPDI) selepas program CSR di rumahnya di Kampung Alor Ketitir, baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya 20 tenaga kerja terlibat dalam menjayakan aktiviti CSR itu dengan memasang pagar kawat berduri seluas satu ekar yang berakhir kira-kira 12.30 tengah hari .


Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Rusdi Abdullah berkata, aktiviti CSR seperti ini telah sinonim kepada pihak mereka sebelum PAS menjadi parti yang memerintah negeri.

"Insyaallah dengan cara ini kita dapat menjimatkan kos selain daripada menjalinkan hubungan yang erat, memupuk budaya kerja yang berkerjasama serta sekaligus menyelesaikan masalah masyarakat." jelas beliau.


Tag: