Sukarelawan Bina Rumah Baharu Mangsa Banjir Dalam Tiga Hari

LANCHANG, 9 Januari - Sukarelawan Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu (Prihatin Terengganu) berjaya membina semula sebuah rumah yang musnah dihanyut banjir dalam tempoh tiga hari.

Presiden Prihatin Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar berkata, simpati dengan nasib pemilik rumah terbabit, Md Johari Kasim, 59, pihaknya mengumpulkan sumbangan orang ramai dan ahli persatuan untuk tujuan itu.

Katanya, Prihatin Terengganu membuat perancangan selama seminggu sebelum bertolak dari Marang, Terengganu ke Pahang bagi menjayakan misi terbabit.

"Sebelum ini kami sudah berkampung di sini untuk kerja pembersihan rumah yang ditenggelami banjir lumpur.

"Sewaktu kerja pembersihan itu, Md Johari atau Pak Johar menceritakan kisah ahli keluarganya yang hilang tempat berteduh selepas rumahnya mereka musnah 95 peratus akibat tragedi banjir," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Rumah baru ini turut dipasangkan elektrik dan keperluan utama rumah seperti kipas.

Mengulas lanjut, terkesan dengan ujian yang dihadapi Pak Johari, pihaknya mula mengumpulkan sumbangan wang dan peralatan membina rumah.

Jelasnya, banyak entiti turut memberikan kerjasama dalam misi tersebut antaranya Pemuda PAS Dun Bukit Payung, ARC, Pasukan KAJV, Surau Al-Hikmah dan Jabatan amal Malaysia Terengganu.

"Alhamdulillah, dalam tempoh seminggu kami berjaya mengumpulkan sedikit dana sekitar RM10,000 bagi membina rumah baharu keluarga mangsa.

"Ahli persatuan kami juga ada yang memiliki peralatan dan kenderaan seperti 'backhoe', ini sedikit sebanyak memudahkan urusan serta menjimatkan kos pembinaan.

"Hari ini hari terakhir kami di sini, sebagaimana dirancang mahligai baharu Pak Johari kini siap, semuanya percuma untuk mereka," jelas Asmawi.

Sementara itu, Pak Johari kelihatan sebak sebaik melihat rumahnya yang hanya tinggal tangga selepas banjir baru-baru ini kembali seperti asal.

"Tiada kata yang boleh menggambarkan apa yang sedang bermain di fikiran saya, terima kasih kepada mereka, hanya Allah mampu membalas jasa mereka.

"Syukur pada Allah kerana menghadirkan insan yang baik-baik, saya tidak sangka rumah ini mampu disiapkan sekelip mata," katanya.

Pak Johar dan isteri di rumah baharu.

 


Tag: