TAPAH - Atlet angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri menambah satu lagi kilauan emas buat kontinjen Hanelang, sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, hari ini apabila angkatannya yang berjumlah 141 kilogram (kg) bagi kategori 48 kg wanita clean & jerk berjaya mengungguli mata tertinggi.
Pingat perak pula dimenangi atlet Pahang, Siti Zaleha Yusop dengan jumlah angkatan 137kg dan gangsa milik atlet dari Sabah, Nilcy Tunik dengan angkatan 136kg.
Kejayaan atlet Terengganu itu membaiki rekod penyertaan pertama kali beliau pada SUKMA ke-18 Sarawak dua tahun lalu dengan membawa pulang pingat perak.
Nurul Afiqah, 18, anak kelahiran Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus, turut meraih gangsa bagi acara snatch wanita dengan jumlah angkatan 60kg, dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah, di sini.
Kemenangan gangsa Afiqah dengan pemenang pingat emas (Pahang) dan perak (Perak) hanya dibezakan jumlah angkatan satu kilogram sahaja.
Menurut atlet itu, sasaran satu perak dan satu gangsa yang disandarkan kepadanya kali ini berjaya dilepasi dengan memberi 'bonus' emas untuk kontinjen Terengganu.
"Saya menjadikan penyertaan pertama kali pada SUKMA lalu (Sarawak) sebagai pengalaman untuk membaiki prestasi pada kali ini.
"Alhamdulillah saya berjaya melakukan lebih baik dan meninggalkan pesaing agak jauh untuk emas (clean & jerk),"katanya.
Tambahnya, sokongan semua pihak terutama ibu bapa, Aida Mohd Salleh dengan Muhammad Zamzuri Jusoh dan pengurusan angkat berat serta jurulatih, Azmer A Rahman menyuntik semangat untuk membuat sehabis baik pada persaingan itu tanpa menghiraukan perang psikologi pihak lawan.
Beliau yang didedahkan dengan sukan itu sejak berusia 14 tahun ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri juga mahu menyasarkan koleksi emas peribadi kedua pada penyertaan SUKMA akan datang.
Acara angkat berat di bawah jabatan angkat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu disertai 27 atlet menawarkan 32 emas bermula pertandingan hari ini dan akan berakhir 21 September nanti.