KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Besut menegaskan bahawa cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak mencukupi sekiranya tidak disertakan dengan syarat moral dan integriti yang jelas, ketika mencelah perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Celahan itu dibuat susulan perbahasan Ketua Pembangkang (Larut) yang menyentuh keperluan pembaharuan institusi, termasuk cadangan had dua penggal jawatan Perdana Menteri serta pemisahan tanggungjawab antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi mengukuhkan prinsip kebertanggungjawaban dan pengasingan kuasa.
Menurut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, usaha mencegah rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh bergantung kepada tempoh perkhidmatan semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan penapisan menyeluruh terhadap watak, moral dan kelayakan individu yang memegang jawatan tertinggi negara.
“Selain had tempoh, syarat-syarat lain juga perlu dinyatakan.Seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri mestilah bermoral,
"tidak mempunyai kes mahkamah dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak bermoral.
" Ini juga wajar dikira sebagai syarat,” katanya ketika mencelah.
Beliau menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri merupakan amanah besar yang menentukan hala tuju negara dan nasib rakyat, justeru hanya individu yang benar-benar berintegriti dan berakhlak wajar diberi kepercayaan memegang tanggungjawab tersebut.
Perbahasan Titah Diraja yang bermula semalam berlangsung di Dewan Rakyat, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas.