IPOH - Matlamat penganjuran
Sukan Malaysia (SUKMA) bukan hanya bertujuan untuk menyediakan satu platform kepada atlet muda mempamerkan bakat dan kebolehan mereka, sebaliknya menghasilkan jaguh di peringkat antarabangsa seperti pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagi Kementeri Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis
Sukan Negara, temasya itu begitu penting dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berbakat dan berpotensi untuk dilatih bagi membawa cabaran negara ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kita berharap atlet-atlet yang dilahirkan menerusi temasya ini akan mampu
mengambil alih kekosongan yang akan ditinggalkan oleh atlet senior negara satu hari kelak.
"Sejarah pengelolaan temasya ini telah
membuktikan nama-nama besar seperti Dato’ Lee Chong Wei, Dato’ Nicol David, Azizulhasni Awang, Shalin Zulkifli, Pandelela Rinong, Khairul Hafiz Jantan, Goh Jin Wei semuanya dilahirkan menerusi SUKMA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian SUKMA Ke-19 Perak 2018, di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan
Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Tuan Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Syed Saddiq lagi, selain dari pada itu, temasya yang melibatkan pelbagai jenis sukan dan acara ini juga merupakan medan terbaik kepada kontinjen negeri termasuk Negara Brunei Darussalam, mengukur sejauh mana keberkesanan program latihan dan pembangunan sukan yang dilaksanakan selama ini.
Oleh kerana itulah, beliau berkata, KBS berharap, temasya itu akan sentiasa menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di negara kita.
"Kerajaan Negeri turut sama memainkan peranan dalam memastikan matlamat tersebut dapat dicapai.
"Kita semua haruslah menerima hakikat bahawa tugas untuk membangunkan sukan adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri,"katanya.